Cari Blog Ini

Translate

Sabtu, 28 Februari 2015

hizbu imam nawawi

Imam  al-Nawawi  dilahirkan  di  sebuah  kampung  bernama  Nawa  di  daerah  Hauran  sebelah selatan kota Damsyik, Syria pada bulan Muharram 631H. Nama penuh beliau ialah Muhyiddin, Abu  Zakaria,  Yahya  bin  Syaraf  al-Nawawi,  al-Hizami,  al-Haurani,  al-Syafii.  Beliau  hidup  di kalangan ahli keluarga yang sangat menghargai ilmu agama. Imam Nawawi pindah ke Damsyik dan tinggal di madrasah al-Rawahiyyah pada tahun 649H semata-mata untuk menuntut ilmu. Beliau sangat tekun menuntut ilmu agama dan berjaya menghafal kitab al-Tanbih hanya dalam masa 4 setengah bulan sahaja. Pada bulan berikutnya dalam tahun itu beliau berjaya menghafal ¼ kitab al-Muhazzab di bawah bimbingan gurunya iaitu Ishaq bin Ahmad al-Maghribi. Beliau kemudian berangkat bersama bapanya untuk menunaikan fardu haji. Di sana beliau telah menetap  di  kota  Madinah  selama  sebulan  setengah  dan  mengalami  sakit  di  sepanjang perjalanannya. Abu al-Hasan bin al-‘Atthar  salah seorang muridnya  menceritakan bahawa gurunya iaitu Imam al-Nawawi memberitahunya yang dia belajar sebanyak 12 pelajaran dengan para gurunya setiap  hari.  Subjek  tersebut  sama  ada  dalam  bentuk  huraian  atau  pembetulan.  Subjek pelajarannya adalah seperti berikut: 2 subjek menggunakan kitab al-Wasith (fiqh) 1 subjek menggunakan kitab al-Muhazzab (fiqh) 1 subjek menggunakan kitab al-Jam’u baina al-Sahihain (hadis) 1 subjek menggunakan kitab al-Sahih Muslim (hadis) 1 subjek menggunakan kitab al-Luma’ karya Ibn Jinni (nahu) 1 subjek menggunakan kitab Islah al-Manthiq (bahasa) 1 subjek dalam ilmu saraf1 subjek dalam ilmu usul al-fiqh 1 subjek dalam ilmu rijal – biografi periwayat hadis1 subjek dalam ilmu usuluddin dan akidah (berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah: Apa yang tersalin dalam kitab hanya 11 subjek sahaja) Antara reaksi kehidupan seharian Imam al-Nawawi ini ialah beliau enggan makan buah-buahan dan timun (sayur-sayuran), alasannya ialah: “Aku bimbang ia akan menggemukkan badanku dan membuatkan aku tidur lama!” Sedangkan beliau hanya makan sekali pada setiap hari dan hanya sekali meminum air iaitu ketika waktu sahur. Beliau menghadapi pemerintah dengan penuh keberanian, segala yang menyalahi sayarak akan ditegur, dikirim kepada mereka surat serta mengingatkan pemerintah dengan ‘kekuasaan’ Allah Taala. Beliau pernah menulis dalam suratnya: “Daripada hamba Allah, Yahya al-Nawawi: Semoga Allah memberikan keselamatan, rahmat dan keberkatanNya kepada kamu, Sultan yang dihormati, penghulu raja-raja Badr al-Din. Semoga Allah melestarikan kepadanya kebaikan dan kebajikan. Diperpanjangkan kebaikan di dunia ini hingga ke akhirat bagi setiap impiannya serta diberkati pada setiap keadaannya, amin! Aku ingin  menyampaikan  pada  pengetahuan  yang  mulia  bahawa  penduduk  Syam  sedang menghadapi kesempitan dengan sebab ketiadaan hujan dalam satu surat yang agak panjang.” Lalu dibalas surat tersebut dengan nada yang keras oleh al-Zahir. Bukan sekali beliau menulis surat kepada Malik al-Zahir dalam mengajak kepada perbuatan yang baik dan meninggalkan perkara  yang  buruk.  Tetapi  nada  suratnya  penuh  dengan  kelembutan  dan  kebaikan.  Bukan suara yang keras dan menempelak para pemerintah dengan cacian dan kutukan sebagaimana kini. Hinggakan pernah ditanya kepada Malik al-Zahir berkaitan dengan Imam al-Nawawi beliau menyatakan: “Aku begitu gerun kepadanya”. Antara karyanya yang terkenal ialah: Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim Riyadh al-Solihin Min Kalam Saiyid al-Mursalin Al-AzkarAl-Arba’in (Hadis 40) Al-Irsyad Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughah Minhaj al-Thalibin Al-Daqaiq Tashihul Tanbih Fi Fiqh al-Syafi’iyah Taqrib Wa Tahsin Fi Musthalah al-Hadits Al-‘Umdah Al-Idhah Al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Quran Dan banyak lagi Beliau terus belajar ilmu hingga menjadi seorang ulama besar dalam fiqh mazhab Syafii, turut mahir di dalam bidang hadis dan bahasa. Berkaitan dengan ini Syaikh ibn Farh menyatakan bahawa Imam al-Nawawi memiliki tiga darjat yang setiap satu darjatnya sangat sukar dicapai oleh orang lain, iaitu ilmu, zuhud dan berpesan ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran. Beliau pulang semula ke Nawa selepas menziarahi Bait al-Maqdis. Di sana tidak berapa lama beliau jatuh sakit dan meninggal dunia pada bulan Rejab tahun 676H. Umur Imam al-Nawawi ketika itu baru mencecah 45 tahun, meskipun usianya yang tidak begitu panjang, kehidupannya dalam  tempoh  itu  penuh  dengan  keberkatan.  Umur  yang  singkat  itu,  beliau  menghabiskan untuk melakukan ibadah, ketaatan, mengajar dan menulis.  Semoga Allah merahmati beliau dan kita semua. Allahumma amin! Imam  al-Nawawi  ini  tidak  berkahwin  kerana  terlalu  sibuk  dengan  ilmu  dan  tidak  sempat memikirkannya. Masanya diluangkan untuk ilmu, beribadah dan hanya sedikit rehat. Imam Nawawi diketahui menyusun kitab al-Azkar, hizibnya yang sudah maklum. Jangan lupa untuk melakukannya selepas solat Dhuha kerana memiliki keutamaan yang sangat besar. Sanad Wird atau Hizb An-Nawawi oleh Imam An-Nawawi r.a. Al-Faqir  ila  Rabbihi  Al-Qawi,  Raja  Ahmad  Mukhlis  bin  Raja  Jamaludin  Al-Razi  Al-Azhari meriwayatkan Hizb An-Nawawi ini daripada Sheikh As-Sayyid Ibrahim Bin As-Sayyid Abdullah Al-Akhsa'ie daripada Sheikh Al-Mu'ammar Hasan Al-Masyath daripada Sheikh Al-Habib Husien bin Muhammad Al-Habsyi daripada Sheikh As-Sayyid Ahmad bin Abdul Rahman Al-Bar daripada Sheikh Abdul Rahman bin Muhammad Al-Kazbiri daripada ayahnda beliau Sheikh Muhammad bin Abdul Rahman daripada ayanda beliau Sheikh Abdul Rahman daripada Sheikh Muhammad bin Ahmad bin 'Uqailah daripada Sheikh Hasan bin Ali Al-Ajami daripada Sheikh Najmuddin Muhammad Al-Ghazzi daripada ayahnda beliau Sheikh Badruddin Muhammad daripada Al-Hafiz Imam As-Suyuti daripada Sheikhul Islam Imam Al-Bulqini daripada Sheikh Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad  At-Tanukhi  daripada  Sheikh  'Ala'uddin  bin  Al-'Athor  daripada  Al-Imam  Al-Hafiz  Abu Zakaria Yahya bin Syarafuddin An-Nawawi r.a.  Ijazah oleh Habib Muzir Al-Munsawa  AL-FADHIL SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI dan diterjamahkan ke Bahasa Melayu oleh Muallij Mustaqim bin Mohd Najib Al-Kelantani untuk tatapan umum bukan untuk tujuan pengijazahan. Amalkan dengan penuh istiqamah. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dengan nama Allah aku ucapkan ke atas diriku, ke atas agamaku, ahli keluargaku, anak-anakku, hartaku, sahabat-sahabatku, agama mereka dan ke atas harta benda mereka seribu "la haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azhim" Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, aku ucapkan ke atas diriku, agamaku, ahli keluargaku, anak-anakku, harta-bendaku, sahabat-sahabatku, agama mereka dan ke atas harta benda mereka sejuta "la haula wala quwwata illa billahil'aliyyil 'azhim" Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, aku ucapkan ke atas diriku, ke atas agamaku, ahli keluargaku, anak-anakku, harta bendaku, sahabat-sahabatku, agama mereka dan ke atas harta benda mereka satu billion "la haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azhim" Dengan nama Allah, aku berlindung dan memohon keberkatan, hanya dengan nama Allah, aku memohon pertolongan dan kemenangan, dan hanya dari Allah, aku memohon kurniaan, dan hanya kepada Allah, aku bernaung dan menyandar, dan hanya ke atas Allah, aku tenggelamkan diriku, jihadku, dan kesungguhanku, dan tiada daya (daripada mengelak maksiat) dan tiada upaya (daripada mengerjakan taat) melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Bismillah, (aku ucapkan) ke atas agamaku, jiwa ragaku, anak-anakku, harta bendaku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku, dan atas segala sesuatu yang dikurniakan Tuhanku kepadaku. Dengan nama Allah, Tuhan Pentadbir tujuh petala langit, Tuhan Pentadbir tujuh petala bumi, dan Tuhan Pentadbir 'Arasy yang Agung. Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat beserta namaNya barang sesuatu pun yang ada di bumi ini dan di langit, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Bismillah adalah sebaik-baik nama di bumi dan di langit, dengan nama Allah, aku mulakan dan aku akhiri segala-galanya. Allah, Allah, Allah, Allah Raja Pentadbirku, aku tidak sekutukan denganNya barang sesuatu pun. Allah, Allah, Allah, Allah Raja Pentadbirku, tiada Tuhan sebenar melainkan Allah. Allah lebih perkasa, lebih Agung dan lebih Besar daripada apa yang aku khuatiri. Dengan Engkau ya Allah, aku berlindung dari kejahatan segala sesuatu yang diadakan oleh Raja Pentadbirku, yang dijadikan dan yang diciptakannya. Dengan Engkau ya Allah, aku bentengkan diriku dari mereka, dengan Engkau ya Allah, aku tolak dan tundukkan mereka. (aku jadikan ayat-ayat berikut sebagai pemohon syafaat) dan aku dahulukan ia dihadapanku dan dihadapan mereka, iaitu : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.) bahawasanya Allah itu Maha Esa. Allah itu Tempat Bergantung. Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa pun yang setara denganNya. (surah al-Ikhlas:1-4) Dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) disebelah kananku dan disebelah kanan mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas disebelah kiriku dan disebelah kiri mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) dihadapanku dan dihadapan mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) dibelakangku dan dibelakang mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) diatasku dan diatas mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) dibawahku dan dibawah mereka, dan seperti itu juga (aku jadikan Basmalah dan surah al-Ikhlas) meliputi diriku dan diri mereka. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau bagi manfaat diriku dan bagi diri mereka dari kebaikanMu dengan (hak) kebaikanMu yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun selain Engkau. Ya Allah, jadikanlah aku dan mereka di dalam golongan hambaMu yang sebenar dan di dalam perlindunganMu, orang-orang yang Engkau pergatikan dan orang-orang yang berdamping dengan Engkau, di dalam keamaanMu dan bentengMu, dan di dalam golonganMu dan naunganMu, daripada setiap syaitan dan raja, manusia dan jin, orang jahat dan orang yang hasad, binatang buas, ular dan kala jengking, dan daripada setiap binatang yang hanya Engkaulah Pemegang ubun-ubunnya (Pengaturnya). Sesungguhnya Tuhanku itu di atas jalan yang lurus. Cukuplah bagiku Tuhanku daripada orang-orang yang ditadbirnya, cukuplah bagiku Penciptaku daripada semua ciptaanNya, cukuplah bagiku Tuhanku Yang Maha Pemberi Rezeki daripada orang-orang yang dikurniakan rezeki, cukuplah bagiku Tuhanku yang Maha Penutup (Pelindung) daripada orang-orang yang dilindungi, cukuplah bagiku Tuhanku yang Maha Penolong daripada orang-orang yang ditolong, cukuplah bagiku Tuhanku yang Maha Gagah daripada orang-orang yang digagahi, cukuplah bagiku Tuhanku yang hanya Dialah yang menjadi kecukupanku, cukuplah bagiku Tuhanku yang sentiasa menjadi kecukupanku, cukuplah bagiku Allah, dan Dialah sebaik-baik wakil, dan cukuplah bagiku Allah daripada sekalian makhlukNya, sesungguhnya penolongku ialah Allah yang telah menurunkan Al-Qur'an, dan Dia pasti akan menolong orang-orang yang soleh. {Dan apabila engkau membaca Al-Qur'an (wahai Muhammad s.a.w.), Kami jadikan dinding yang tidak dapat dilihat diantara kamu dan diantara orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat. Dan Kami jadikan di atas hati mereka tutupan yang berlapis-lapis, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang telinga mereka dari memahami dan mendengar al-Qur'an, dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama TuhanMu saja di dalam Al-Qur'an, mereka berpaling undur melarikan diri.} (Surah Al-Isra': 45-46) {Kemudian jiwa mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.) : "Cukuplah bagiku Allah (sebagai Pemeliharaku), tiada Tuhan yang sebenar melainkan Dia. Hanya kepada Allah aku berserah diri, dan Dialah Raja Pentadbir 'Arasy yang Agung.} (Surah At-Taubah: 129) Dan tiada daya (daripada mengelak maksiat) dan tiada upaya (mengerjakan taat) melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Dan semoga curahan selawat dan salam sentiasa ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w., ahli keluarganya dan para sahabatnya..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

apakah indonesia akan menjadi pusat peradaban

roufurrohim

bissmillah